Friday, February 18, 2011

Salam Maulidur Rasul


1- PENGENALAN
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagai Rasul terakhir. Tidak ada lagi Nabi atau Rasul selepasnya. Baginda bersifat dengan sifat kemuliaan yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun di muka bumi ini. Ia bertugas menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Menyelamatkan mereka daripada kesesatan dan tidak mengakui kekuasaan Allah sebagai pencipta kepada sekelian makhluk.
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia yang paling dikasihi oleh Allah dan menjadi penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul. Allah mahukan semua manusia supaya mencontohi sifat-sifatnya.
2- DETIK KELAHIRAN.
Waktu fajar 12 Rabiul Awal. Tahun Gajah. Bersamaan 12 April 571 (M), satu kumpulan wanita telah diutus oleh Allah bersiap sedia di sisi Aminah. Mereka ialah Asiah isteri Firaun, Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa a.s dan diiringi bidadari-bidadari dari syurga.
Saatnya telah tiba. Aminah melahirkan seorang putera, bercahaya gilang-gemilang, kedua-dua tangannya bertelekan di muka bumi, kepalanya mendongak ke atas, kedua matanya merenung tajam ke arah langit, keadaannya berbau harum, bersih berseri-seri, sudah siap dikhatankan dan sudah siap dipotong tali pusatnya. Semuanya ini dilakukan sepantas kilat oleh petugas-petugas istimewa dari syurga.
Abdul Mutalib yang sedang tawaf di Kaabah segera mendapatkan cucunya itu, dibawa masuk ke dalam Kaabah.Ia berdiri sambil berdoa dan bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang baharu sahaja diterima itu.
3- MENGENAL FIZIKAL RASULULLAH (S.A.W)
Adalah diceritakan bahawa pertumbuhan jasmani Rasulullah s.a.w sehari sama dengan pertumbuhan kanak-kanak biasa sebulan. Usia tiga bulan boleh berdiri. Lima bulan pandai berlari. Sembilan bulan pandai bertutur dengan lancar dan fasih. Di antara dua belikatnya terdapat tanda khatamun Nubuwah yang sentiasa memancar dan dapat dikesan oleh orang yang memandangnya.
Baginda membesar dengan wajah yang berseri-seri. Cahaya wajahnya sentiasa bersinar seperti bulan purnama. Tinggi perawakannya. Kulitnya putih kemerah-merahan. Luas kedua-dua belah matanya. Kening dan bulu matanya melengkung indah. Tajam dan putih bersih giginya. Lebar sedikit mulutnya. Mulus pipinya bersih. Hidungnya mancung indah. Tangannya lembut bagaikan sutera.
Bidang bahunya lebar. Kukuh kedua belah tangannya. Kuat tulang-tulang sendinya. Sedikit daging di tumitnya. Tebal janggutnya. Rambutnya terurai kemas mencecah bahu. Peluhnya bagaikan butiran mutiara, sentiasa berbau wangi. Tenang setiap langkah bejalannya, agak sedikit tunduk seolah-olah orang sedang berjalan menurun bukit.
Apabila Baginda berjabat tangan, tinggallah bau semerbak di tangan orang yang dijabatnya sepanjang hari. Apabila Baginda mengusap kepala kanak-kanak maka akan segeralah diketahui sentuhan itu kerana baunya yang semerbak mewangi.


Tuesday, September 28, 2010